Tuesday 25 October 2016

EPISOD 1: HAYY IBN YAQZAN

EPISOD 1: HAYY BUKAN SEBARANG TARZAN

(MENCABAR MINDA KAMU KALAU MAU BEBAS BERFIKIR)

KISAH ini adalah diilhamkan oleh cerita klasik falsafah Sufi Hayy Ibn Yaqzan yang ditulis oleh Ibn Tufail yang meninggal tahun 1185.

Dia adalah ‘anak haram’ yang dianggap memalukan umat. Ramai yang buang bayi kerana malu dengan perzinaan yang berleluasa, hasil masyarakat yang terlalu pentingkan kebendaan. Kalau nak kahwin, habis belajar dulu. Kalau nak kahwin, kenduri besar wajib ada. Kalau murah, apa kata orang pula. Siapakah yang bersalah? Ibunya yang berzina atau masyarakat yang memaksa?

Tetapi ibunya tidak sanggup buang bayinya ke sampah. Ibunya meletakkannya dalam bakul. Sambil beristighfar dan berdoa kepada ALLAH SWT, ibunya harap sungai akan membawa bakul yang mengandungi bayi ini ke tempat yang selamat.

Ibunya memberi nama bayi ini sebagai Hayy Ibnu Yaqzan. Maksud Hayy ialah Hidup. Ibnu Yaqzan maksudnya Anak Kepada Yang Sedar.

Hiduplah Hayy! Sedarlah dari mimpi masyarakat yang lalai dalam dunia kebendaan.

Walaupun ‘anak haram’ tetapi rahmat ALLAH SWT luas. Doa ibu diperkenankan. Bakul itu pun membawa Hayy ke sebuah pulau yang terpencil. Tiada umat manusia di pulau ini.

Seekor rusa betina jumpa dan memelihara Hayy. Rusa ini memelihara Hayy seperti memelihara bayi-bayinya yang lain. Tiada hak istimewa bagi Hayy. Bila Hayy meningkat dewasa, dia belajar memburu, makan sendiri, belajar cuci najis sendiri dan lain-lain. Kerana tiada hak istimewa, Hayy meningkat dewasa dengan laju sekali, lalu menjadi individu yang gagah, berani dan berdikari.

Rusa ini memelihara Hayy sehingga Hayy mencapai umur 7 tahun. Tiba-tiba Hayy dapati Rusa ini dalam keadaan tidak lagi bergerak. Tidak lagi bersuara. Sebenarnya, ibunya ini sudah mati. Tetapi Hayy tidak faham. Dia cuba membedah tubuh ibunya untuk mencari apa jua yang dapat menghidupkan ibunya kembali.

Dia lihat rusa-rusa dan haiwan-haiwan yang lain juga akan mati dan Hayy tidak dapat mencari switch yang dapat hidupkan kembali yang telah mati. Walaupun tidak berjaya menghidupkan, tetapi ini adalah sumber motivasi kepada Hayy untuk mencari apa makna hidup dan mati.

Apakah aku hidup hanya untuk menanti kematian? Apa makna hidup? Bertahun lamanya Hayy mencari sehingga umur 20 tahun. Hayy tidak membuang masa remajanya. Bahkan Hayy tidak mempunyai konsep ‘remaja’ kerana tiada Pokemon Go, tiada rakan sebaya di pulau yang tiada civil society atau ‘sekolah’ untuk memberitahu, mendidik dan menghukum bahawa dia adalah ‘remaja’.

Hayy hanya mempunyai konsep survival seperti haiwan-haiwan lain. Tetapi yang membezakan Hayy dengan haiwan-haiwan lain ialah Hayy mencari makna kehidupan.

Aku hidup untuk apa? Mengapa aku sahaja yang tanya soalan ini, dan tidak haiwan-haiwan lain? Tiba-tiba Hayy mendapat ilham bahawa hanya beliau di pulau ini yang tanya soalan ini kerana dia ada keistimewaan dalam dirinya yang kita istilahkan sebagai ‘akal’.

Walaupun Hayy tidak mempunyai istilah ‘akal’ seperti kita, tetapi ini bukan sekadar istilah bagi Hayy. Ia adalah kebebasan!

Hayy tanya soalan-soalan yang kritis tentang kehidupan, tentang alam, tentang hakikat, tentang segala-galanya. Beliau tidak konformis. Tiada syeikh, tiada paderi, tiada sami, tiada ulama yang menentukan tahap mana penggunaan akal jatuh haram. Tiada liberalis yang kata penggunaan tak logik. Hayy bebas dalam erti kata yang sebenar.

Bagi kita yang ber"tamadun”, kita fobia guna akal. Takut sesat dan menyesat. Kita matikan akal kita dan minta ulama berfikir untuk kita. Kita tidak mahu berfikir. Kita bertaqlid buta sahaja. Tetapi bagi Hayy, akalnya yang menghidupkannya, membezakannya dengan haiwan-haiwan lain.

Aku hidup, haiwan-haiwan lain pun hidup. Tetapi aku memiliki keistimewaan akal untuk majukan hidupku dengan bertanya sebanyak mungkin persoalan-persoalan walaupun belum ada jawapan. Semakin banyak akalku membangkitkan persoalan walaupun belum ada jawapan, semakin aku rasa diri aku jauh berbeza dari haiwan-haiwan lain, dan semakin aku termotivasi untuk mencari dan mencari jawapan serta makna.

Tetapi mengapa aku memiliki akal dan ke mana pergi ibu rusa ku?

(BERSAMBUNG)
20th SEPT 2016
SINAR HARIAN
XIFU NASER AL-MAJNUN

No comments:

Post a Comment