Friday 14 October 2016

METOD "MENDUGA KEMUNGKINAN"

A. SAMAD SAID. ANTARA BULAN DAN WIRA. Sastera, 1989


Namun ada yang berfikir bahawa insan seni itu pengkhayal lebih dalam buana imaginasi daripada dalam bumi realitas. Malah ada juga yang menyangka sasterawan gemar menangkap dunia absurditas atau terkadang-kadang ghairah dengan kekejaman. Yang nyata, memang sukar dibataskan di mana berakhirnya realitas dan di mana bermulanya imaginasi. Sasterawan masuk ke dalam dunia imaginasi sebenarnya untuk melihat kemungkinan realitas, dan berada di dunia realitas pula untuk menduga kemungkinan imaginasi. Dan dunia sasterawan itu biasanya di ufuk marginalitas ini sebentar dia tercungap dalam bumi realitas, dan sebentar pula dia lemas dalam buana imaginasi, dan selalunya dia terbelah di persimpangan marginalitas. Di antara cungapan dan kelemasan itu, di antara kerincuannya dalam realitas, imaginasi dan marginalitas itu, berbenihlah karya-karyanya. Dan yang nyata juga, seniman tulen biasanya merakamkan absurditas kerana ingin menemukan kewarasan; merakamkan kekejaman kerana ingin menemukan kemanusiaan. Kerana itu, setiap larik pengalaman -yang duri, yang permata; yang benci, yang cinta sama-sama berguna baginya.

No comments:

Post a Comment